Salamz & Selamat sejahtera ...
bebaru ni heboh dalam akhbar , media sosial dan TV berkenaan dengan Bank Negara nak perketatkan pinjaman peribadi diperketatkan bukan takat tu ja malah dengaq kata pinjaman perumahan pun sama...perkara ni pernah di keluarkan oleh berita semasa..Cheq.artz suka gak baca kt sana sbb depat bagi detail siap sekali ngan fakta & angka...
Hari ni terjumpa plak artikel pasai Bank Negara tu la ..kali ni di ulas oleh Dr. Agus..walaupun dh lama tp tak pa asalkan ianya tak basi....
PADA 5 JULAI 2013, Bank
Negara menguatkuasakan peraturan baru menghadkan:
(i) pinjaman
peribadi setakat 10 tahun maksimum (dahulu 25 tahun);
(ii)pinjaman hartanah dan rumah 35 tahun (dahulu 45 tahun), dan
(iii) tidak
membenarkan lagi pinjaman pra kelayakan.
Alasan yang diberikan Bank Negara adalah untuk
menangani kenaikan hutang isirumah yang meningkat dari RM465.2 bilion pada
tahun 2008 kepada RM754.6 bilion pada pertengahan tahun 2013. Dengan harga
rumah mahal, harga kereta mahal dan kos hidup yang mahal, rakyat Malaysia
adalah ‘juara’ dalam membuat hutang, iaitu hutang isirumah kita adalah 140%
berbanding dengan pendapatan, Singapura 105%, Amerika 123%, Korea 101%,
Thailand 53% dan Indonesia 38%.
Akibat hutang yang banyak ini, kadar individu yang
diisytiharkan bankrap pada tahun 2012 ialah 19,575 ataupun 53 orang sehari
dalam setahun, di mana 50% adalah dari golongan berumur 25-44 tahun. Jumlah
individu yang bankrap dari tahun 2007 sehingga 2013 adalah 245,000 orang yang
mana faktor utamanya adalah disebabkan oleh kegagalan untuk membayar pinjaman
(hutang).
Persoalannya, kenapa hutang rakyat kita tinggi?
Menurut data Bank Negara, 64% pinjaman yang dibuat oleh isirumah adalah dari
pinjaman perumahan dan kereta sahaja. Pinjaman peribadi jatuh ke tempat ketiga
paling banyak.
Pertanyaannya, mengapa harga rumah mahal sehingga
boleh membuatkan kita terhutang sampai ke tua? Bila rakyat bertanya hal ini,
jawapan pemaju mudah sahaja, iaitu kerana barang kos pembinaan seperti simen,
pasir, batu-bata dan seribu satu macam perkara lain lagi naik harga. Bagi ahli
ekonomi, mereka menjawab kerana permintaan melebihi penawaran.
Saya pun hairan kenapa kerajaan tidak boleh
mengawal harga rumah ini? Apakah payahnya sangat untuk kerajaan menetapkan
harga rumah mampu milik kepada rakyat, iaitu rumah yang boleh dibeli oleh
golongan berpendapatan sederhana yang harganya dalam lingkungan RM100-RM200
ribu sahaja.
Ini kerana saya lihat harga rumah yang ditetapkan
oleh pemaju sekarang sudah di luar dari istilah rumah mampu bilik. Bayangkan
bagaimana seorang yang baru bekerja boleh memiliki rumah jika harga rumah dua
tingkat di Bandar Baru Bangi dengan keluasan 20”X70” pun sudah mencecah RM500
ribu. Bayangkan harga rumah kondominium di Bangsar yang seluas 2,000 kaki (185
meter) persegi dijual pada harga RM2.4 juta seunit dan harga sebuah rumah
semi-D di Sri Hartamas berharga RM1.5 juta. Siapakah yang mampu membelinya?
Bayangkan pula kalau ada hutang kereta, anak kecil
3 orang, kena beli lampin anak, bayar orang gaji, kad kredit, pakaian,
persekolahan, minyak kereta dll, maka apa lagi yang tinggal? Bagaimana mungkin
mampu untuk membeli rumah semahal ini jika pendapatan suami isteri hanya RM5
ribu sebulan sahaja dengan bayaran yang ditetapkan dalam masa 35 tahun. Jika
suami isteri berpandapatan RM5 ribu pun tidak mampu, bagaimana bagi mereka yang
berpendapatan lebih rendah dari itu?
Saya cukup risau dengan harga rumah yang tidak
terkawal dan over priced ini. Sekarang ini pun dengan gaji RM6 ribu sebulan,
belum tentu dapat membeli rumah yang berharga RM400 ribu. Andaikan si pembeli
meminjam RM400 ribu sahaja daripada bank dengan purata kadar faedah enam
peratus setahun, peminjam perlu membayar ansuran bulanan sebanyak kira-kira
RM2,400 selama 30 tahun. Ini bermakna peminjam yang membeli rumah teres pada
usia 30 tahun hanya akan habis membayar hutang pada usia 60 tahun.
Persoalannya, berapa ramaikah rakyat kita memiliki pendapatan RM6 ribu sebulan
sekarang?
Apabila melihat kepada masalah harga rumah yang
semakin ‘tidak masuk akal’ sekarang ini, saya terpanggil untuk membincangkan
masalah ini. Saya sedih melihat nasib rakyat yang terhimpit dengan masalah ini
kerana biarpun sudah berumur 45 tahun dan berkelulusan universiti, sehingga
sekarang pun masih ‘menyewa’ lagi. Itu belum lagi mengambil kira mereka yang
bekerja di bawah dari tahap gaji pegawai yang berkelulusan universiti.
Atas masalah harga rumah yang tinggi ini, saya
mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya mengambil tindakan berikut:
i. Turunkan kadar faedah daripada 4% kepada 2%
sahaja untuk pinjaman kerajaan dan dari 6% kepada 3% sahaja untuk pinjaman bank
bagi rumah pertama. Ambil perhatian kerajaan Kelantan tidak mengenakan faedah
kepada kakitangan awamnya dan Public Bank hanya mengenakan kadar faedah
sebanyak 1% sahaja kepada kakitangannya.
ii. Naikkan elaun perumahan untuk kumpulan sokongan
dari RM180 sebulan kepada jumlah yang lebih wajar. Di Kuala Lumpur, sewa
sebilik pun sudah RM250-500 sebulan. Bagi pekerja swasta pula, kerajaan perlu
mewajibkan syarikat membayar elaun perumahan kepada pekerjanya campur dengan
gaji minimum yang baru diwajibkan.
iii. Kerajaan sendiri membina lebih banyak rumah
sesuai dengan permintaan dengan tidak lagi menyerahkannya kepada pemaju swasta.
Sekiranya syarikat swasta mahu juga membinanya, kerajaan perlu meminda akta
supaya segala pembangunan perumahan yang dilakukan oleh syarikat swasta
hendaklah mengikut syarat-syarat ketat harga yang ditetapkan kerajaan supaya
harga menjadi terkawal dan tidak lagi melampau.
iv. Menteri Perumahan yang baru sepatutnya merangka
mekanisme untuk menurunkan harga rumah sama ada dengan mengurangkan kos
pembinaan dan lain-lain tindakan yang wajar.
v. Jika harga rumah mahal disebabkan oleh harga
tanah, maka kerajaan hendaklah menetapkan harga siling bagi setiap kaki persegi
tanah kerana tanah adalah milik kerajaan yang boleh dikawal.
vi. Jika harga tanah di bandar mahal untuk
membangunkan perumahan, maka binalah apartment ‘layak duduk’ yang sesuai untuk
golongan berpendapatan rendah. Mereka tetap perlu disediakan rumah kerana itu
adalah keperluan asas manusia yang perlu disediakan oleh kerajaan untuk
rakyatnya. Jangan pula cari alasan ‘kalau ayam mahal jangan makan ayam’, atau
‘kalau rumah di bandar, mahal sewa atau belilah rumah di kampung’.
Saya yakin jika kerajaan boleh membuat pelbagai
program seperti Hari Sukan, Hari Wanita dan Hari Belia dengan kos yang berjuta,
tentunya tidak sukar bagi kerajaan untuk mengambil langkah lebih adil bagi
menyediakan perumahan kepada rakyat ini.
Mengingatkan tentang hutang rakyat kita yang
terlalu tinggi dan ramai lagi dari kalangan mereka yang masih belum mempunyai
rumah sendiri, hati saya mengeluh. Semoganya tidak lagi selepas
ini...
- Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff
Penganalisis Politik, Pensyarah UKM
No comments:
Post a Comment